KATA ALUAN

DARI MEJA GURU BESAR


Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang menyampaikan sepatah dua kata di ruangan ini.
Dalam menerajui dunia tanpa sempadan penghasilan laman blogger ini menjadi penggerak utama bukan sahaja kepada warga sekolah, malahan kepada seluruh rakyat di negara ini. Persaingan dunia Teknologi Maklumat kini menghendaki kita bergerak pantas dan menyediakan diri dalam menghadapi cabaran alaf baru. Oleh itu, institusi sekolah menjadi pemangkin utama dalam menyediakan anak didik dengan segala bentuk ilmu dan kemahiran yang menjadi tunjang untuk mereka meneruskan perjuangan dalam memartabatkan negara ke persada dunia.
Selaras dengan anjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025, sesungguhnya kolaborasi dalam semua aspek amat diperlukan daripada semua warga sekolah ini bagi mencapai kecemerlangan sekolah. Kerjasama yang erat bagai aur dengan tebing diharap dapat membawa perubahan bersepadu dalam mengangkat martabat sekolah sekali gus mengangkat martabat pendidikan di Malaysia.
Kita sedia maklum bahawa tahun 2017 merupakan gelombang kedua PPPM.  Segala tindakan harus selari dengan lima aspirasi dan enam pencapaian murid.  Keberhasilan murid perlu diterjemahkan melalui anjakan paradigma sekolah abad ke-21. Para guru bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana pembelajaran bilik darjah abad ke-21 dengan kepelbagaian aktiviti seperti KBAT dan I-THINK. Justeru itu, semua guru seharusnya melakukan transformasi dan penambahbaikkan kepada kemahiran dan potensi diri yang sedia ada bagi menghadapi cabaran pendidikan dalam abad ke-21.
Sesungguhnya, penghasilan laman blogger ini menyediakan alternatif yang mampu diadaptasi oleh para pelajar dan guru-guru. Kehadiran laman blogger ini wajar dimanfaatkan oleh warga sekolah dan penghasilannya merupakan sumbangan progresif ke arah pendidikan berteras teknologi untuk pengajaran dan pembelajaran yang efektif serta pengurusan pentadbiran sekolah yang cemerlang.
Saya amat berbangga dan berterima kasih atas usaha-usaha yang dilaksanakan dalam merealisasikan laman blogger ini.  Oleh itu, besarlah harapan saya agar warga sekolah sentiasa peka dan berusaha memaksimumkan penggunan laman blogger yang julung kali dihasilkan ini, terutama dalam menyalurkan usaha untuk menghadapi dunia globalisasi serta memartabatkan mutu pendidikan bertaraf dunia.
Saya sangat yakin bahawa dengan dedikasi, usaha yang bersungguh-sungguh, semangat kerja berpasukan serta komitmen yang tinggi di kalangan semua guru serta warga sekolah, kita mampu mengharungi persaingan yang mencabar kini dan dalam masa yang sama dapat "Melestarikan Pendidikan Terbilang".
Selamat Maju Jaya.
Sekian, terima kasih.

SARAVANAN A/L NADASON
GURU BESAR,
SJK(T) TUN SAMBANTHAN,PAJAM

No comments: